Articles / Newsletter

Sukarnya hendak pulihkan sungai 'rosak'!
Date 22-Dec-2018 | Category | Author Rahimah Abdullah, Astro Awani
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sukarnya-hendak-pulihkan-sungai-rosak-194158

 

Sukarnya hendak pulihkan sungai 'rosak'!

Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata, banyak faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai. - Astro AWANI/Rahimah Abdullah

KUALA LUMPUR: Mudah untuk 'merosakkan' sungai, namun sukar untuk memulihkannya semula.

Malah, usaha untuk mengembalikan wajah asal sungai yang jernih dan berkualiti akan memakan masa yang sangat lama.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata, banyak faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai.

Antaranya, aktiviti industri, penternakan, loji kumbahan dan sisa dari kediaman penduduk termasuk sikap sesetengah masyarakat yang suka membuang sampah.

"Ada banyak faktor perlu diambil kira. Faktor yang pertama, apabila sungai tercemar, ia mengambil masa
yang lama untuk dipulihkan. Sekali sungai tercemar atau rosak, nak pulih akan melibatkan kos yang tinggi dan memerlukan penglibatan semua pihak," katanya dalam satu temubual dengan Astro AWANI.

Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) pantau 477 sungai

JAS tingkat pemantauan dan penguatkuasaan berkala ke atas sungai berisiko tinggi tercemar.

JAS ATASI PENCEMARAN SUNGAI

Bagi sungai kelas tiga, pemulihan yang perlu dilakukan ialah dengan rawatan loji bekalan air secara berterusan untuk menggunakan air sungai berkenaan.

"Bagi sungai kelas empat pula, biasanya ia diguna pakai untuk pengairan dan pertanian, manakala sungai kelas lima tiada kegunaan," katanya.

Tambahnya, kebanyakan pencemaran sungai berpunca daripada pencemaran organik seperti bahan makanan dari perumahan, pepejal terampai seperti kawasan pembinaan, lokasi melibatkan kerja-kerja tanah, pencemaran ammonia termasuk kumbahan manusia atau ternakan.

Selain logam berat turut menjadi pemantauan JAS bagi mengetahui impaknya kepada sungai.

Sebelum ini, JAS telah menambah daripada 861 kepada 1,353 stesen pengukuran tahap kualiti air sungai.

"Kita juga sedang pergiatkan lagi frekuensi untuk pemantauan kepada enam kali setahun," kata beliau.

24 sungai kelas tiga, 26 sungai kelas empat dan 1 sungai kelas lima

51 sungai tercemar dikesan JAS

GARIS PANDUAN DIWUJUDKAN 

JAS turut mengeluarkan  tiga garis panduan berkaitan ternakan dalam menguruskan kawalan sisa buangan di ladang.

Tiga garis panduan berkenaan ialah Garis Panduan Sistem Pengolahan Efluen (SPE) bagi penternak lembu tenusu, lembu pedaging, dan kerbau, Garis Panduan Rekabentuk Sistem Pengolahan Efluen bagi penternak lembu tenusu , dan Garis Panduan Sistem Pengolahan Efluen bagi penternak babi.

"Sekiranya kita dapat menghapuskan atau mengurangkan pencemaran daripada ternakan, kita dapat tingkatkan lagi kualiti air," kata beliau.

Bagi tujuan sama, kerajaan juga meningkatkan penguatkuasaan ke atas loji kumbahan.

"Sejak 2009 kita telah keluarkan satu peraturan baharu untuk kawalan pencemaran kumbahan di mana standardnya lebih ketat. Jadi kita harap sasaran kita pada 2018, kita dapat melihat pencemaran kumbahan dapat dikurangkan," kata beliau.

JAS akan laksanakan kaedah baharu tangani pencemaran sungai

Aktiviti industri, kumbahan dan kediaman menyumbang kepada pencemaran sungai



CARA BAHARU ATASI PENCEMARAN PADA 2019

Sementara itu, Dr. Ahmad Kamarulnajuib berkata satu pendekatan baharu perlu dilakukan dalam meningkatkan kawalan terhadap pencemaran dari kawasan pembinaan. 

Justeru, satu program pensijilan untuk semua pengurus kemampanan dan pemaju projek untuk melalui proses latihan intensif mengenai cara mengawal pencemaran daripada kerja-kerja tanah.

"Kawasan pembinaan, tempat kerja tanah yang dilakukan perlu ada pencegahan hakisan dan kawalan sedimen. Ini bagi mengurangkan hakisan tanah ke sungai, dan ada kaedah dipanggil best management practices yang perlu dilaksanakan dalam menangani isu pencemaran daripada kelodakan dan sedimen," tambahnya.

Untuk mencapai status negara maju, setiap pembangunan ekonomi perlu diseimbangkan dengan kawalan pencemaran dan impak kepada alam sekitar.

Bagaimanapun katanya, pencemaran sungai di Malaysia dilihat semakin menurun dengan bantuan teknologi yang mampu membuat pemantauan secara meluas melalui Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) yang digunakan seluruh negara.

Pada masa sama, tahap kesedaran awam mengenai pencemaran sungai mula meningkat selain kerjasama sesetengah pemaju bagi meningkatkan tahap kualiti sungai.

[ Back ] [ Print Friendly ]