Articles / Newsletter

NADMA harap Bajet 2019 fokus perkasa pengurusan bencana
Date 31-Oct-2018 | Category | Author Nurul Fhatihah Zakinan, BH Online
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/10/492922/nadma-harap-bajet-2019-fokus-perkasa-pengurusan-bencana

MOHAMED Zahari Razali (duduk, tengah) bergambar bersama peserta pada Bengkel Latihan Town Watching Training of Trainers (TOT) di Wisma Negeri, Ayet Keroh. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER

AYER KEROH: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berharap kerajaan memfokuskan peruntukan bagi memperkasakan lagi agenda pengurusan bencana membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat dalam pembentangan Bajet 2019, Jumaat ini.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Sektor Perancangan dan Kesiapsiagaan NADMA, Mohamed Zahari Razali, berkata situasi bencana seperti banjir sebelum ini sering berlaku pada musim tengkujuh antara November hingga Januari setiap tahun, namun kini ia tidak lagi dapat diramal.

“Apabila cakap pasal bencana, bukan saja tertumpu pada banjir. Apabila berlaku insiden merujuk Arahan No. 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN), maknanya kita kena turun padang untuk bantu kerajaan negeri dan daerah dalam segala sudut, termasuk dari segi bantuan kewangan atau logistik.

“Justeru, kita berharap kerajaan baharu memberi fokus kepada agensi pengurusan bencana bukan setakat NADMA. Contohnya, dua agensi penting seperti NADMA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menunjukkan kerajaan serius menangani bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Latihan Town-Watching Training of Trainers (TOT) Persediaan Banjir-Peta Laluan Selamat Komuniti Semasa Menghadapi Banjir di Wisma Negeri, di sini, petang tadi.

Sementara itu, Mohamed Zahari berkata, lebih 200 pegawai dan anggota NADMA akan terbabit dengan arahan pembekuan cuti selama dua bulan sebagai persiapan menghadapi banjir di beberapa negeri di seluruh negara.

“Pegawai dan anggota kita yang terbabit termasuk Smart Team seramai 140 orang yang bertindak sebagai koordinator membantu kerajaan negeri dan daerah jika diperlukan,” katanya.

NSTP semalam melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengeluarkan arahan pembekuan cuti itu sebagai langkah siap siaga berikutan beberapa negeri di Pantai Timur mula menerima taburan hujan yang tinggi susulan ketibaan Monsun Timur Laut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jumlah kutipan Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami (TBGBTS) yang diluluskan kerajaan pada 4 Oktober lalu setakat semalam berjumlah hampir RM5 juta.

“Tempohnya akan berakhir pada 4 November ini dan ia tidak akan dilanjutkan,” katanya.

[ Back ] [ Print Friendly ]